About

Photobucket

Nov 27, 2008

Persoalan Keselamatan : Sejauh Manakah Sensitiviti Kita?

Persoalan keselamatan adalah perkara yang amat dititikberatkan oleh PMRAM hingga ia adalah perkara utama yang akan didedahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi baru yang tiba. Sebagai sebuah persatuan induk kepada para pelajar, peranan PMRAM bukan sekadar memberi kebajikan kepada para ahli bahkan menjaga soal keselamatan yang dilihat semakin dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

Akibat kecuaian dan tidak mengambil berat soal ini, banyak kes yang berlaku mengakibatkan kehilangan harta benda seperti wang, telefon bimbit, dokumen pengenalan diri dan yang paling khuatir mangsa selalunya akan mengalami trauma selepas kejadian seperti takut untuk bermuamalat dengan Arab dan sebagainya. Kebelakangan ini, dilaporkan banyak berlaku kes samun kepada pelajar Malaysia. Bahkan kes kecurian juga semakin meningkat terutama di Kompleks Hayyul ‘Asyir. Yang menghairankan, kecurian seperti motosikal juga boleh berlaku sedangkan motosikal telah diletakkan di zon yang agak selamat di sekitar Kompleks Hayyul ‘Asyir. Naib Presiden I PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Md.Arif ketika diminta mengulas, berkata pihaknya telah menerima banyak aduan terhadap kes berkaitan. “Dalam beberapa mesyuarat Unit Hisbah, juga dibangkitkan dan buat masa ini kita meminta semua ahli agar dapat melakukan solat hajat semoga masalah ini dapat dibendung,” ulas beliau yang juga Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM.

Mengulas kes yang berlaku, beliau tidak menafikan ada kes siswi dikejar lelaki Arab waktu siang hari di sekitar kawasan Kompleks Hayyul ‘Asyir. “Nasib baik siswi tersebut berjaya melarikan diri dan meminta perlindungan dari siswa,” ujar beliau. Walau bagaimanapun setakat ini PMRAM bersyukur tiada kehilangan nyawa. Selain itu, kes samun oleh warga Arab kepada pelajar kita juga semakin menjadi-jadi. “Jika dahulu kita khuatirkan pihak siswi untuk keluar malam, tapi kini pihak siswa juga harus berhati-hati,” tegas Timbalan Setiausaha Agung PMRAM, Ustaz Hanafi Zulkifli. Pihak PMRAM seringkali mengingatkan para siswa agar elakkan berjalan seorang diri pada waktu malam dan di kawasan yang sunyi dan gelap. Tambahan pula, mereka yang menjadi musyrif kepada siswi. "Jika terpaksa naik teksi pun tidak mengapalah, jika cara itu boleh mengurangkan risiko berbanding berjalan kaki yang kekadang terpaksa mengambil risiko yang banyak apabila melalui lorong yang sunyi. Berapa sangat tambang teksi yang kita bayar berbanding nyawa kita, " ulas beliau.

Dalam perkembangan lain, pihak PMRAM amat khuatir kerana masih lagi menerima laporan siswi keluar malam tanpa musyrif. Banyak kes siswa terserempak dengan siswi yang berjalan di waktu malam tanpa musyrif seperti yang terjadi kepada Timbalan Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad yang terserempak dengan dua orang siswi keluar tanpa musyrif di kawasan belakang Rumah Terengganu beberapa hari lalu. Dalam etika yang ditetapkan oleh PMRAM, siswi hendaklah berada di dalam rumah pada waktu maghrib dan tidak dibenarkan keluar malam selepas itu kecuali atas urusan yang penting dan mustahak. Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim ketika mengulas perkara ini, mempersoalkan sesetengah pihak yang tidak faham kerana menganggap PMRAM mengongkong siswi dengan peraturan sedemkian. “Mereka tidak faham dengan peraturan ini. Ini negara orang, bukan negara kita. Pimpinan dulu buat peraturan sebab mereka sudah mengetahui keadaan Mesir dan masyarakatnya . PMRAM bukan mengongkong siswi. Sekarang semua pihak melihat peraturan PMRAM ini ada baiknya dengan kes-kes yang berlaku sekarang ini. Bukan setakat siswi, siswa pun kena berhati-hati sekarang ini,” tegas beliau lagi.

Bagi Ustaz Ahmad Yussuf, tokoh pelajar yang disegani ketika mengulas perkara ini menyarankan pelajar mengikuti perkembangan di dada-dada akhbar Mesir. “Dalam akhbar Mesir, kes seperti samun dan jenayah amat membimbangkan.Usahkan kepada warga asing, sesama Arab Mesir juga dirasakan tidak selamat,” ulas beliau yang menyebut antara faktor meningkatnya kes jenayah di Mesir kerana faktor dadah. dan kecanggihan teknologi yang mendadak masuk ke Mesir seperti internet yang kekadang disalahguna oleh sesetengah pihak. Tambah Ustaz Ahmad lagi yang banyak mengikuti perkembangan semasa berkata, kes yang kian menular dikalangan masyarakat Arab sendiri ialah apa yang disifatkan sebagai “gangguan jenis” iaitu gangguan kepada golongan hawa sambil membawa contoh satu kes yang berlaku di ‘Atabah tidak lama dulu. “Seorang wanita yang telah bertudung, diganggu oleh sekumpulan pemuda di tengah-tengah khalayak ramai”. “Apa yang menghairankan tiada siapa yang berani membantu wanita tersebut sedangkan ia berlaku di tempat awam,” tambah beliau lagi. “Sedangkan masyarakat Arab sejak dahulu adalah masyarakat yang menghormati golongan wanita yang seolah-olah sudah menjadi adat mereka menghormati golongan tersebut. Namun, kini sifat sebegitu sudah semakin hilang,” ujar beliau lagi.

Justeru, persoalan keselamatan perlu diambil kira oleh semua kerana tiada guna hendak disesali jika perkara yang telah berlaku. bak kata pepatah, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna lagi".Segala peringatan yang diberikan ini bukanlah dengan niat untuk mengongkong para pelajar tetapi lebih kepada peringatan. Tidak dinafikan selain itu disarankan juga kepada para pelajar agar melazimi amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah sebagai benteng serta peliharaan dari-Nya. Amalan harian seperti bacaan ma’athurat, Hizib Bahr dan pelbagai zikir dan wirid lain perlu diamalkan sebagai salah satu usaha kita. Selain mengikuti peraturan yang dikeluarkan PMRAM, seterusnya kita berdoa dan menyerahkan urusan ini kepada Allah semoga Dia membantu kita semua. Perlu diingatkan kepada para mahasiswa,segala apa jua kes yang berlaku hendaklah dirujuk kepada Yang Dipertua BKAN atau Pengerusi DPM masing-masing atau juga terus merujuk kepada Presiden PMRAM. Pihak PMRAM sendiri menyedari perkara ini dan sentiasa mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah ini. Sebagai persatuan yang mempunyai hubungan yang baik dengan pihak keselamatan Mesir, PMRAM akan menggunakan peluang yang baik ini bagi mengatasinya

No comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.

[ KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ]

[KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ] Tragedi tragis yang menimpa umat Islam pada zaman ini adalah apabila pengumuman Presiden...