About

Photobucket

Nov 14, 2008

Tajdid iman

"Ya Allah, haramkanlah kulit, darah, daging dan tulangku daripada api
neraka."

Demikianlah doa seorang hamba yang datang kepada Tuhannya membawa
penyesalan. Maka tiada kegembiraan melebihi kegembiraan Allah Ta'ala
mendengar rintihan hamba-Nya. Tiada pandangan lebih bernilai daripada
pandangan rahmat Allah ke atasnya.

Kekotoran dibalas dengan kesucian, air mata digantikan dengan
perasaan bahagia yang menyelimuti diri, dalam kesusahan dapat juga
dirasai erti kenikmatan iaitu kenikmatan diterima menjadi hamba-Nya
yang dekat dan rapat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila hamba-Ku bertanya kepada
kamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku
(Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan
orang yang berdoa kepada-Ku, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan
hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi orang yang
mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Antara tanda dekatnya seseorang hamba kepada Allah ialah gementar
hatinya apabila disebut nama Allah. Dalam keadaan apapun dia tetap
meletakkan kesucian dan keagungan Allah berada pada tempat tertinggi
dalam hatinya.

Gementar hati bermakna hati yang fokus kepada mencari reda Allah,
sentiasa jujur dalam hubungan dengan Tuhannya, tidak ada perbezaan
ketika susah atau senang, sendirian atau berada di tengah manusia
yang ramai, hatinya tetap setia, jujur dan ikhlas mencintai Tuhannya.

Orang yang bercinta semestinya bergetar hati apabila disebut nama
yang dicintainya. Gementar bukan cuma bermakna takut tetapi juga
rindu dan bahagia. Dia yakin bahawa Allah dekat di sisi.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu
hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati
mereka." (Surah Al-Anfal, ayat 2).

Imannya sentiasa bertambah. Setiap hari dia seolah-olah menaiki anak
tangga menuju puncak reda Allah. Ada yang terjatuh dan kembali
bangkit, ada yang duduk diam tidak mahu mendaki, ada pula yang
berhati-hati hingga mencapai tingkat yang lebih tinggi daripada orang
lain.

Sabar dan mujahadah, waspada dan tawakal menjadi pemangkin semangat
menuju puncak kejayaan. Hamba yang dekat di sisi Allah tidak akan
membiarkan dirinya berpaling daripada-Nya.

Namun demikian, dia mengaku bahawa hawa nafsunya kadang-kadang
melepaskan ikatan itu dan menyungkurkan dirinya di bawah paras
kehinaan dan melupakan Allah. Oleh itu, dia suka menambah imannya
dengan memperluas kefahamannya dengan ilmu.

Masanya banyak dihabiskan untuk membaca, mengkaji dan merenungi
kebesaran Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila
dibacakan ayat Allah, bertambahlah iman mereka kerananya." (Surah Al-
Anfal, ayat 2)

Proses mendekatkan diri kepada Allah memerlukan sedikit usaha kajian,
baik teori mahupun amali. Proses ini berterusan hingga ke akhir hayat
manusia. Tanpa ilmu, kedudukan tertinggi di sisi-Nya hanya impian
semata.

Prinsip hidup orang beriman ialah menjual dirinya kepada Allah.
Setiap hari dia mesti mendapat keuntungan daripada perniagaan itu.
Dia hendaklah menutup harinya dengan tirai audit muhasabah, menyoal
untung rugi yang diperoleh, adakah amalannya bertambah atau
berkurangan.

Harta dan jiwa adalah sesuatu yang paling berharga dan manusia
sanggup mengorbankan apa saja untuk mempertahankan keduanya. Harta
dan jiwa menjadi modal kebahagiaan, namun ada segolongan sanggup
melepaskan harta dan jiwanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sudah membeli
daripada orang beriman diri dan harta mereka dengan syurga, mereka
berjuang di jalan Allah." (Surah al-Taubah, ayat 111).

Dia juga tidak takut dengan celaan orang yang suka mencela.
Bagaimanakah keadaan orang mukmin jika hatinya berada di sisi Allah?
Sudah tentu dia tidak akan berasa takut dan malu dengan penghinaan
orang yang dengki. Bukankah Allah lebih hebat kuasa-Nya daripada
kekuatan manusia.

HELWA MISG

No comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.

[ KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ]

[KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ] Tragedi tragis yang menimpa umat Islam pada zaman ini adalah apabila pengumuman Presiden...