Dec 29, 2008

 

Selamat menyambut awal Muharam 1430 Hijrah

MENGIKUT kalendar Islam, selepas waktu Maghrib hari ini, melangkahlah kita ke tahun baru 1430 Hijrah. Muharram adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, kiraan bulan dibuat mengikut tahun masihi.

Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada daripada sudut dakwah Rasulullah SAW, ukhuwah dan syiar Islam itu sendiri. Justeru, sempena kehadiran tahun baru ini sewajarnya kita menilai segala baik dan buruk diri kita selama ini.

Hari yang berlalu sesungguhnya tidak akan kembali lagi. Adakah kita mengambil pedoman mengenai perjalanan hari atau tahun ini yang berlalu ini? Hari demi hari yang berlaku bermakna semakin dekat kita ke penghujung usia dan hari akhirat.

Setiap detik yang berlalu memberi maksud semakin sedikit baki umur yang kita yang tinggal. Maka beruntunglah mereka yang memanfaatkan baki hidup mereka sebelum bertemu Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Allah menukar ganti malam dan siang, sesungguhnya pada demikian itu satu iktibar yang besar bagi mereka yang mempunyai penglihatan mata hati.” (An-Nur, 44)

Setiap kali tahun baru menjelma, tidakkah kita perhatikan betapa jauhnya penghujung bagi tahun yang bakal kita hadapi itu?

Bagaimanapun, tanpa kita sedari perjalanan hari bergerak dengan pantas dan laju dan akhirnya kita ada di penghujung tahun pula. Persoalannya, apakah perasaan kita terhadap tahun yang berlalu dan apa pula persiapan dan azam kita untuk tahun yang bakal menjelma?

Untuk menjawab persoalan ini, Rasulullah SAW meninggalkan ilmu yang berguna untuk kita jadikan panduan dan laksanakan, sebagaimana hadisnya yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu.”

Ini yang perlu kita lakukan dalam menyambut kehadiran tahun baru, bukan dengan berpesta-pestaan. Apa yang diajar Rasulullah SAW itu juga perlu kita lakukan sebagai pengisian hidup sepanjang tahun 1430 yang bakal mendatang sehinggalah tiba detiknya kita dijemput Allah SWT untuk kembali kepada-Nya.
Share:

0 comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.