Jan 25, 2009

 

Taubat berulang dibenar pastikan hati sentiasa bersih

MANUSIA tidak sunyi daripada dosa. Hanya perbezaannya sama ada dia melakukan dosa besar atau kecil. Sebab itu Allah menyediakan taubat untuk membersihkan dosa. Untuk meletakkan dosa sentiasa dibersihkan, taubat hendaklah dilakukan sepanjang masa.

Setiap kali melakukan dosa, bersegera bertaubat. Namun, tidak pula kita mengambil kesempatan melakukan dosa dan kemudian bertaubat. Setiap taubat hendaklah diiringi perasaan menyesal melakukan perbuatan dosa. Kemudian tanam di dalam hati tidak mahu mengulangi perbuatan itu.

Yang dikatakan berulang-ulang taubat ialah jika terlanjur melakukan dosa lagi, biarpun ketika taubat sudah berikrar tidak akan mengulanginya. Sememangnya, manusia memiliki sifat lupa dan lalai. Keadaan iman yang lemah mudah mendorong manusia lupa pada ikrar sendiri.

Paling ketara, kelalaian dan lupa berlaku ketika usia muda. Jiwa muda mudah tertipu dengan muslihat yang dirancang syaitan.

Sebab itu timbul ungkapan, muda hanya sekali. Masa muda lakukan apa saja yang diingini tanpa memikirkan dosa. Apabila tua nanti, taubat dan beribadat banyak. Namun, kebanyakan mereka itu lupa, maut tidak mengenal usia.

Sedangkan, syaitan pula tidak mengenal usia untuk menyesatkan manusia. Jika ketika usia muda mudah tergoda hasutan syaitan, begitu juga ketika tua. Syaitan akan memberi tumpuan kepada golongan tua agar terus melakukan kejahatan dan lupakan taubat. Syaitan tidak mahu usahanya dahulu sia-sia apabila manusia bertaubat dan banyak beribadat sebelum menemui ajal.

Allah swt berfirman :

Sudah dekat kepada manusia hari hisab segala amalan mereka sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya). Tidak datang kepada mereka suatu ayat al-Quran pun yang baru (diturunkan) daripada Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main.(Surah al-Anbiya, ayat 1-2).

Dalam diri manusia ada hati, yakni seketul darah yang berperanan mengawal perlakuan jasad dan minda manusia. Perlakuan dosa yang diulang-ulang secara sedar membentuk titik hitam di hati.

Terlalu banyaknya titik hitam menyebabkan warna hati bertukar menjadi gelap. Secara rohaniahnya, titik hitam yang tidak dibersihkan akan menyebabkan lebih banyak lupa dan kelalaian.

Taubat dapat membersihkan hati. Seperti pakaian, jika hendak kelihatan sentiasa bersih, kenalah sentiasa dibasuh. Kekotoran yang banyak dan lama tidak dibersihkan sukar untuk dibersihkan kemudiannya.

Ada sebahagian tidak berasa berdosa terhadap apa dan kepada sesiapa pun. Ia berpunca kurang didikan agama dan hidup pada persekitaran tidak mesra agama. Kesannya, dosa kecil berlaku berterusan dan yang besar menjadi kebiasaan.

Jika berlaku dosa, maka segeralah mohon keampunan Allah. Ia termasuk dosa kecil. Jangan menganggap dosa kecil tidak mengotorkan hati. Ini bagi membina kehidupan yang berasakan tidak senang biarpun hanya membabitkan dosa kecil.

Apabila amalan baik sudah sebati dengan diri, ia akan memberikan rasa kekebalan untuk menghadapi cabaran lebih besar.

Justeru, taubat berulang-ulang menjadikan hati sentiasa bersih. Keadaan itu dengan sendirinya sukarlah kekotoran lain melekat. Cahaya keimanan terpancar dari hati menghalang perbuatan dosa disengajakan.

Sebaliknya, hati yang kotor lebih tertarik melakukan perbuatan dosa. Lama kelamaan hati akan tertutup terus daripada cahaya keimanan. Sukarlah untuk kembali ke jalan diredai. Namun begitu, Allah itu Maha Pengampun bersedia sanggup menghapuskan segala dosa hamba-Nya yang bertaubat.

Doa adalah cara mengelak godaan syaitan. Ia satu usaha yang meletakkan kita dalam sedar dan berhati-hati terhadap ancaman. Hati akan terasa dekat dengan Allah dan sentiasa menyerahkan urusan hidup kepada-Nya.

Permulaan untuk mencegah hati menjadi kotor dan lalai ialah menjaga anggota badan:

  • Pertama, kawal mulut daripada mengucapkan perkataan tidak baik berupa fitnah, mencela, mencaci dan mengumpat.
  • Kedua, elak mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati.
  • Ketiga, berhati-hati dalam soal memilih makanan dan minuman agar terhindar daripada sumber dan jenis haram.
  • Keempat, menghalang kaki daripada berjalan menuju ke tempat yang berlangsung maksiat.
  • Kelima ialah jauhkan tangan daripada melakukan atau mengambil sesuatu yang haram.
  • Dan, keenamnya, jagalah kemaluan agar tidak melakukan zina.
Share:

0 comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.