Dec 26, 2009

Dec 4, 2009

 

Laporan Sambutan Aidil Adha 2009/2010

Pengarah : Ustaz Ahmad Hakim bin Samsudin
Timb. Pengarah : Ustazah Siti Farhana binti Abd Razak

Tema : "TADHIYYAH DICERNA WEHDAH DIJANA"

27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430 H, sekali lagi Allah membuka ruang kepada umat Islam di seluruh dunia merayakan hari yang bersejarah dan penuh kemuliaan ini. Tidak ketinggalan, Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) juga membuat sambutan pada 29 November bagi meraikan kemeriahan Aidil Adha di bumi Mesir.

Pada tahun ini, BKMIP dengan kerjasama Pengurusan Yayasan Pahang Kaherah telah berjaya menyediakan sebanyak 1 ekor unta, 1 ekor lembu dan 4 ekor kambing untuk dijadikan korban. Seawal jam 7.00 pagi, pelajar ikhwah mula berpusu-pusu turun ke kandang binatang korban. Acara korban dimulakan pada jam 7.30 pagi. Seterusnya acara melapah daging korban beramai-ramai dilangsungkan di Dataran Kompleks Pahang. Sementara daging korban dilapah, pelajar perempuan sibuk bergotong royong membuat persiapan untuk acara dewan. Pada sebelah petangnya pula, pelajar ikhwah bergotong-royong memasak daging korban tersebut.

Seusai solat Isyak bermulalah acara dewan yang dinanti-nantikan. Kehadiran ahli BKMIP pada kali ini agak memberangsangkan iaitu dengan kehadiran pelajar dirasat dan perubatan yang dianggarkan hampir 200 orang. Ini kerana sambutan Aidil Adha kali ini menyajikan persembahan yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kehadiran jemputan VIP tiba seawal jam 8.00 malam. Antara jemputan yang hadir, Pegawai Atase Pendidikan Yayasan Pahang, Encik Ahmad Fared bin Mohd Din dan sekeluarga, Presiden PMRAM Ustaz Abdul Muiz bin Mohamad serta beberapa orang Badan Pengurus dan HEWI PMRAM yang lain.

Acara kemuncak yang dinanti telah pun tiba. Persembahan daripada Encik Mohd Fared mendapat tepukan dan sorokan yang gemuruh daripada ahli BKMIP yang hadir. Beliau telah mendendangkan sebuah lagu nasyid yang telah dipopularkan oleh kumpulan BROTHERS, ditujukan khas buat isteri yang tercinta. Seterusnya beliau mendeklamasikan syair arab yang bertajuk Al-Hub.

Di samping itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Ajkt ikhwah tahun ini. Malah pelajar- pelajar baru juga mengambil kesempatan dengan membuat persembahan pentomen yang mendapat sambutan dan persembahan nasyid dari kumpulan Syabab Al–Makmur. Berakhir kesemua persembahan, para jemputan dan ahli dihidangkan dengan sajian yang menyelarakan antaranya ialah kurma unta, rendang daging, gulai kambing, acar sayuran dan sedikit kuih raya.

Lewat jam 11.30 malam ahli BKMIP mula mengosongkan dewan pulang ke destinasi masing-masing. Semoga keindahan Aidil Adha kali ini akan sentiasa tersemat di hati kami selamamya dan mendapat keberkatan dariNya. AMEEN YA RAB…

Lihat gambar kenangan Sambutan Aidil Adha 2009/2010
Share: