Apr 29, 2011

 

Motivasi Imtiaz Dan Sukan Mahabbah

23,24 dan 25 April 2011-bermula dengan Motivasi Imtiaz dan seterusnya sukan Mahabbah anjuran BKMIP memperlihatkan sokongan ahli Pahang terhadap segala bentuk Program anjuran BKMIP semakin mendapat tempat dihati mereka.

Motivasi Imtiaz yang berlansung dengan kehadiran hampir 200 orang pelajar Pahang terdiri dari mahasiswa dan mahasiswi yang sentiasa menginginkan diri mereka diberi nasihat dan peringatan agar tidak leka dengan suasana mesir yang kita sedia maklum, penuh dengan dugaan dan cabaran yang menguji mental dan fizikal bagi seluruh mahasiswa/wi yang menuntut di sini.

Dua orang penceramah telah dijemput, ustaz Ahmad Fared B Mohd Din dan isteri beliau, Ustazah Ramiza Binti Mohamed yang tidak jemu-jemu untuk memberikan segala bentuk nasihat dan tunjuk ajar yang berguna kepada seluruh anak-anak Pahang yang menuntut di bumi mesir ini.

Antara perkara penting yang ditekankan mereka ,kita sebagai mahasiswa perlu pantas untuk menyesuaikan diri dengan system pengajian Al-Azhar supaya kita akan sentiasa bersedia dengan kemungkinan yang berlaku di masa akan datang.

BKMIP dan Pihak Pengurusan Yayasan Pahang merancang untuk melaksanakan program yang bakal diberi nama "Akademi Ulama Muda" yang mana program ini bertujuan melahirkan ulama-ulama Pahang yang mana apabila mereka Pulang ke Pahang kelak masyarakat tidak akan ketandusan untuk mencari tenaga-tenaga pengajar yang mahir dalam bidang masing-masing terutamanya Pengajian Islam.

Sukan Mahabbah turut belangsung pada hari yang seterusnya bagi meraikan ahli Pahang yang berada di Kaherah bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa lama dan baru supaya saling mengenali diantara mereka.

Antara sukan yang dipertandingkan adalah sepak takraw, bola tampar dan ping pong yang memperlihatkan bakat-bakat mahasiswa baru yang kebanyakannya boleh bermain dalam semua acara.

Terima kasih kepada seluruh ahli Pahang yang sentiasa member sokongan dan dokongan terhadap BKMIP sebagai salah satu kesatuan yang membentuk generasi pemangkin ummah di masa Akan datang.

Share:

Apr 25, 2011

 

BKAN Melaka Terus Dipertahan

Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya, yang telah menjadikan setiap sesuatu itu lengkap dengan hikmahnya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. juga kepada ahli kerabat Baginda, para sahabat Baginda dan kepada mereka yang menyahut petunjuk yang dibawa Baginda serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari akhirat.

Sahabat-sahabat BKKIMM seperjuangan sekalian.

Firman Allah swt. dalam surah Ali-Imran ayat 167 yang bermaksud:

Dan supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang munafik kepada mereka dikatakan: “marilah berperang dijalan Allah atau pertahankanlah dirimu”. Mereka berkata: “sekiranya kami mengetahui akan terjadinya peperangan, tentulah kami mengikuti kamu”. Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung di dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan.

Berkata Mujahid daripada Jabir Bin Abdullah bahawa sesungguhnya ayat ini telah ditujukan kepada Abdullah Bin Ubai Bin Salul dan para sahabatnya pada peperangan uhud. Ketika mana beliau mengatakan kepada tentera muslimin, “sekiranya kami mengetahui akan terjadinya peperangan, tentulah kami mengikuti kamu”, akan tetapi kenyataan ini hanyalah retorik semata-mata bagi mengaburi apa yang tersemat di hati mereka yang sebenarnya tidak ingin bersama dengan tentera muslimin bagi mempertahankan kemenangan Islam. Mereka mengatakan dengan mulut mereka apa yang tidak terkandung di dalam hati mereka.

Daripada sirah yang diceritakan secara ringkas ini, banyak pedoman dan pengajaran yang diperoleh daripadanya. Pedoman dan pengajaran bagaimana tentera Islam telah tewas pada peperangan Uhud di tangan musyrikin yang beriya-iya ingin membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam peperangan Badar. Strategi musyrikin yang telah berjaya memperdaya sebilangan tentera Uhud yang telah diamanahkan untuk berjaga di bukit memanah.

Jangan sesekali meraka turun dari bukit memanah selagi mana arahan daripada Rasulullah s.a.w. tidak dikeluarkan. Mereka telah dikaburi dengan harta serta kemenangan yang masih belum mereka miliki pada ketika itu. Maka mereka telah turun dari bukit memanah sehingga menyebabkan serangan balas pihak musyrikin terus menghilangkan bayangan kemenangan tentera Islam dalam peperangan Uhud tersebut.

Begitu juga kita pada hari ini, dalam menghadapi rintangan perjuangan dakwah ini, semestinya kita berhadapan dengan golongan-golongan yang bersifat sedemikian yang terkadang menjadi duri dalam daging dalam perjalanan dakwah kita. Juga terdapat mereka yang bersifat seperti mana ayat yang dinyatakan di atas yang terkadang datang dengan hasat dengki yang membuku di hati mereka di sebabkan pengaruh Islam yang di bawa melalui BKKIMM.

Orang terdahulu telah mengamanahkan kepada kita untuk menjaga dan memperjuangkan BKKIMM serta dakwahnya. Sanggupkah kita mengulangi kesilapan tentera Uhud abad baru dengan meninggalkan BKKIMM disebabkan terkabur dengan desakan sesetengah pihak? Ketahuilah bahawa darah 70 syuhada’ Uhud masih merah mengalir di pedang musyrikin? Aliran darah yang telah memerahkan lantai sirah Islam yang masih belum kering disebabkan kesilapan sebilangan tentera Uhud.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Taubah ayat 42 yang bermaksud:

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah: “jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”, mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.

Sahabat-sahabat BKKIMM seperjuangan sekalian.

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir yang kini menjangkau 35 tahun perjalanan dakwahnya kini berhadapan dengan ujian yang telah merencatkan perjalanan dakwahnya seketika waktu. Kepada semua ahli BKKIMM, kami di pihak kepimpinan BKKIMM menyeru kepada semua ahli untuk terus bersama dengan kepimpinan bagi memastikan dakwah yang sekian lama berjalan di BKKIMM terus terlaksana.

Justeru kami telah meletakkan pendirian utama kenapa BKKIMM mesti dipertahankan. Berikut adalah pendirian yang telah dipersetujui oleh saf kepimpinan BKKIMM sesi 2010/2011 :

Tidak bersetuju dengan penubuhan IMAM dan akan tetap memperkukuhkan BKKIMM.

Berpaksikan kepada hujah-hujah di bawah maka pendirian ini dijadikan sebagai satu kemestian BKKIMM terus dipertahan dan diperjuangkan:

i. BKKIMM sudah sedia berpengalaman dan mempunyaI sistem undang-undang tubuh yang kukuh serta mempunyai ramai ahli yang berdaftar.

ii. IMAM bukan suara mahasiswa anak Melaka kerana penubuhannya bukan daripada suara ahli.

iii. Mewujudkan perpecahan dikalangan anak Melaka.

iv. Menyusahkan mahasiswa kerana menghasilkan perkara yang sudah sedia ada dan membuang masa belajar mahasiswa.

v. Hala tuju IMAM yang tidak jelas. Contohnya tidak menjaga kebajikan anak-anak Melaka di Mesir ketika mana isu ugutan penarikan TAPEM.

vi. Melambatkan proses perjalanan dakwah dan kebajikan.


Keberadaan BKKIMM di Mesir sukar untuk dinafikan walau ia tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri Melaka. Kerana semestinya kita faham, kebenaran Islam bukan terletak pada menang atau kalahnya Islam, akan tetapi keikhlasan usaha kita yang ingin memperjuangkan Islam akan dinilai di mahsyar kelak. Justeru sebagai perhatian kepada seluruh ahli BKKIMM di segenap pelusuk Bumi Anbiya’ untuk terus berkerja demi Islam yang tercinta melalui program BKKIMM yang akan diteruskan seperti biasa terutama merangkumi dakwah dan kebajikan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Taubah ayat 105 yang bermaksud:

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan kamu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya apa yang telah kamu kerjakan.


Sahabat-sahabat BKKIMM seperjuangan sekalian.

Mengambil pengajaran daripada peperangan Badar dan Uhud tersebut, jawapan kepada persoalan (apakah kita akan bersama Islam kerana kemenangan Islam dalam peperangan Badar?, dan kita akan berpaling tadah daripada Islam dengan kekalahan sementara Uhud?, ataukah kita akan terus bersama Islam di kala menang dan kalahnya?) mesti dijelaskan.

Menang kalahnya Islam bukan menjadi kayu ukur dalam mentafsir kebenaran Islam itu sendiri. Yakin dan percayalah, kebenaran akan terjelas akhirnya walau kita tidak mampu meletakkan tarikh yang tepat bilakah kemenangan kebenaran itu.

Apa yang penting, tiada senjata yang paling tajam untuk berperang melainkan senjata kesatuan dalam jemaah seluruhnya. Bersama kita memperkukuhkan kesatuan dalam BKKIMM dengan meletakkan thabat dan ithar kepada BKKIMM serta bersabar dengan ujian yang kita hadapi.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ankabut ayat 5 yang bermaksud:

Barang siapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu pasti datang dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Wa Allahu Ta’la ‘Alam.

Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/2011


Share:

Apr 23, 2011

 

Melaksana Dan Memperkasakan Bacaan Al-Quran



21 April 2011,Khamis-Majlis TahsinulQuran telah berjaya memberi kesedaran dan menarik minat seluruh Mahasiswa/wi Islam Pahang bagi memperbetulkan bacaan Al-Quran masing-masing supaya lebih tepat dan sesuai dengan makhraj yang telah ditetapkan.

BKMIP telah menjemput Syeikh Hassan Mohammad Hassan Rajab yang mana kita sedia maklum sememangnya beliau mahir dalam bidang Al-Quran dan beliau juga memberikan kalam-kalam taujihad bagi membangkitkan semangat kepada anak-anak Pahang agar sentiasa mengambil peluang bagi mendalami ilmu Al-Quran walau dimana saja.

Antara usul yang diterima pada Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas " MELAKSANA DAN MEMPERKASAKAN BACAAN AL-QURAN" dan BKMIP selaku Badan Kebajikan yang juga menjaga dan mengatur program-program yang berbentuk ilmiah seperti ini sentiasa menberikan keperihatinan yang sebaik mungkin supaya mahasiswa/wi Islam Pahang dapat mengambil peluang ini bersama-sama dengan Mashayikh Al-Azhar yang sememangnya mahir dalam bidang Al-Quran dan juga bidang-bidang yang lain.

TahsinulQuran ini akan diadakan secara berterusan dan akan dilaksanakan dengan cara yang lebih sistematik dan tersusun selepas ini Insyaallah. Bersama membantu BKMIP, SALAM SKOR MUMTAZ untuk seluruh ahli BKMIP.
Share:

Apr 20, 2011

 

ROAD TOUR MAHABBAH BKMIP 10/11



Alhamdulilah segala puji bagi Allah pada 16/4/2011 AJKT & HEWI Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) telah berjaya mangadakan ziarah mahabbah ke setiap muhafazah bagi merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli & AJKT, disamping mencari anak-anak Pahang yang berada di Mesir. Pada 16/4/2011 AJKT & HEWI sampai ke Damanhur dan disambut meriah oleh ahli-ahli Pahang yang berada di sana seramai 17 orang. Dalam pertemuan yang diadakan di setiap muhafazah, Yang Di Pertua BKMIP, Ustaz Mohd Ridzuan Bin Nazri menyampaikan ucapan berkaitan dengan pembawakannya dalam BKMIP iaitu 3P, Pendidikan, Pentarbiahan, dan Persaudaraan. Tiga perkara ini amat dititk beratkan oleh beliau. Selain itu juga, beliau juga turut menyatakan bahawa, kepada sesiapa yang memohon zakat Pahang, insyaAllah mereka yang telah memohon zakat Pahang akan tetap menerima zakat tersebut sama ada cepat atau lambat sahaja, dan insyaAllah jika dimurahkan rezeki MUIP akan memberikan sumbangan kepada setiap ahli BKMIP.

Perkara paling penting turut diingatkan kepada semua ahli Pahang supaya sentiasa berhati-hati dan kepada ikhwah dan akhawat tidak dibenarkan pulang ke Kaherah melebihi jam 10 malam memandangkan keadaan Mesir yang sekarang ini masih tidak aman. Pelbagai kes-kes ragut dan culik melibatkan pelajar Malaysia sering saja berlaku mutaakhir ini. Perjalanan seterusnya menuju ke Alex dan Dumyat dan dalam masa yang same AJKT BKMIP turut memantau tahap pendidikan ahli yang berada di setiap DPM .

Pada keesokan harinya, AJKT & HEWI menyambung ziarah ke Mansurah dan Tanta. Pertemuan yang diadakan ini sangat memberangsangkan di mana pelbagai soalan dan cadangan telah diajukan. Penglibatan adik-adik perubatan yang menuntut di Tanta amat positif sekali. Road tour ke Zaqziq tidak dapat di teruskan disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah jika ada kelapangan, akan sampai juga ke Zaqziq.

Ucapan terima kasih kepada pengerusi atau wakil daripada DPM setiap muhafazah atas kesudian untuk turut serta dalam menjayakan program Road Tour Mahabbah pada kali ini. Tidak dilupakan juga kepada ahli-ahli yang bertungkus lumus menyediakan hidangan dan jamuan yang enak. Semoga ziarah mahabbah yang diadakan ini dapat mencetuskan revolusi positif dikalangan pelajar-pelajar Pahang.

Share:

Apr 9, 2011

 

Majlis Kesyukuran BKMIP Dan Muzakarah Berkelompok Secara Gabungan Mendapat Sambutan Yang Positif Dari Ahli BKMIP




Khamis 7/4/2011- Gotong royong, majlis doa selamat dan muzakarah berkelompok peringkat Pahang BKMIP telah diadakan bagi menzahirkan rasa syukur diatas segala kesulitan yang berjaya diatasi sepanjang krisis politik yang berlaku di Mesir sehingga seluruh pelajar Malaysia yang menuntut di bumi Mesir ini terpaksa dibawa Pulang dan Alhamdulillah kini seluruh pelajar Malaysia dan khususnya pelajar-pelajar Pahang yang menuntut di Mesir telah selamat tiba di Bumi Ambia ini.

Majlis dimulakan dengan gotong royong membersihkan kawasan sekitar Imarah Pahang seterusnya gotong royang bagi menyediakan jamuan untuk majlis doa selamat yang berlangsung di sebelah malamnya.

Muzakarah berkelompok secara gabungan turut berlangsung dengan BKMIP telah menjemput Ustaz Mukri sebagai pengisi pada malam tersebut yang mana seluruh ahli-ahli Usrah BKAN Pahang telah hadir, turut serta beberapa orang wakil Badan Pengurus PMRAM dan sambutannya amat memberangsangkan sekali.

Seluruh ahli Pahang sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Pihak Yayasan Pahang yang perihatin terhadap tanggungjawab mereka untuk menghantar seluruh ahli Pahang yang menuntut di Mesir kembali semula ke Mesir dengan selamatnya.
Share: