About

Photobucket

May 11, 2011

Sautul Inzar

BULAN JAMADILAKHIR

PENGERTIAN

Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi kedapatan di sana-sini.

PERISTIWA DALAM BULAN JAMADILAKHIR

1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2. Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3. Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

FADHILAT(KELEBIHAN)

Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat pada bulan Jamadil Akhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita digalakkan untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.

Terdapat banyak lagi amalan sunat yang belum lakukan atau belum berkesempatan untuk melakukannya. Maka yang demikian, pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang mungkin kita belum atau tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini. Di samping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga digalakkan agar memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah sebagai penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Di antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w. sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat nafilah, puasa Isnin dan Khamis, sedekah, membaca Al-Qur’an dan lain-lain lagi.

BAJAILAH JIWA

Dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda:

"Memadailah dengan mati itu sebagai pengajaran (penasihat, peringatan)." (Riwayat Tabrani)

Dalam menempuh hidup yang penuh ranjau ini umat Islam perlu memiliki sifat dan sikap positif. Umat perlu cekal, tabah, sabar, kuat kemahuan, bercita-cita tinggi, bersemangat kental, bersungguh-sungguh mahu maju ke hadapan.

Manakala sifat dan sikap negatif perlu dikikis, dibuang dan dihindari. Sewajarnya tidak ada dalam kamus hidup umat Islam erti kecewa, kecundang, tewas, mundur dan menyerah kalah. Andainya berlaku juga kegagalan, biarpun seribu kali, anggaplah kegagalan itu sebagai anak kunci kepada seribu kejayaan.

Umat Islam sentiasa berhadapan dengan berbagai cabaran. Andainya kini kita mundur dan tewas generasi warisan akan merasa kesal dan kecewa. Sedang umat Islam bergelut untuk menguasai berbagai bidang kemajuan, di waktu yang sama keruntuhan akhlak masyarakat berlaku dengan serius,

Marilah kita semua menyuburkan jiwa agar sentiasa segar, ceria, bermaya, teguh dan utuh. Kerana ini merupakan modal penting dalam pertarungan di sudut atau aspek apapun. Kalau kita menyingkap sejarah orang-orang yang berjaya, di sana terselit satu rahsia yang jarang tersingkap iaitu kekuatan jiwa. Bajailah jiwa dengan banyak mengingati mati serta perkara yang bersangkutan dengannya. Rasulullah SAW meletakkan kedudukan mengingati mati itu sebagai mencukupi dan memadai sebagai juru nasihat, pemberi ingat, menjadi iktibar dan tali kekang, pengawal hala tuju kehidupan umat Islam.

Mengingati mati membawa natijah kepada pembinaan sifat-sifat positif dan menguatkan jiwa. Ianya juga sebagai pengawal dari terjerumus kepada perkara-perkara negatif. Apabila seseorang akan terlajak atau terlanjur, dengan mengingati mati nescaya akan kendur nafsu yang rakus dari berbuat kejahatan.

Apabila terasa lemah dalam menghadapi godaan dan pujuk rayu syaitan, kekuatan jiwa akan kembali segar apabila ingat bahawa kita akan berhaadapan dengan Allah SWT selepas mati. Seseorang tidak akan mudah terpesong aqidahnya dan tidak mudah jatuh ke lembah maksiat dan mungkar sekiranya dia ingat bahawa hidup ini sementara yang sedetik bagaikan mimpi. Sebaliknya Akhirat kekal dan abadi.

Kesenangan dan kesusahan dunia ini terlalu kecil berbanding kesenangan dan kesusahan Akhirat. Oleh itu janganlah kerana memburu kesenangan yang sedikit dan takut kepada kesusahan yang kecil sampai menderhakai Allah SWT hingga terlepas dari kesenangan yang hakiki dan abadi serta dilemparkan ke Neraka yang merupakan azab sengsara yang hakiki.


No comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.

[ KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ]

[KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ] Tragedi tragis yang menimpa umat Islam pada zaman ini adalah apabila pengumuman Presiden...