Oct 21, 2013

 

Selangkah Ke Hadapan

Mendepani era revolusi yang kian rancak di persada dunia antarabangsa, mencerminkan sikap ummah kini yang mulai sedar daripada lena panjang nan kelam. Ummah kini mengatur anjakan paradigma dalam pemerintahan dan pembangunan modal insan ke arah generasi rabbani. Ke arah mencapai perubahan tersebut, kita selaku mahasiswa mestilah bertanggungjawab dalam mencapai kecemerlangan akademik dan syakhsiah dengan belajar bersungguh-sungguh, melazimi kuliah, memlihara akhlak, membina jati diri, berdisiplin dan mengurus masa dengan baik.

Selaku mahasiwa juga, kita seharusnya bijak mengorak langkah ke arah perubahan yang sihat, memperbaiki kelemahan diri  dan mengaut segenap pengalaman yang mampu diterokai di bumi anbiya’ ini. Berada di bumi mesir ini, kita mempunyai peluang yang luas dalam menimba ilmu dengan cara bertalaqqi dan berpersatuan. Ilmu bertalaqqi adalah ilmu yang bersifat teori tanpa kita praktikkanya, manakal ilmu persatuan pula bersifat praktikal tanpa kita menafikannya.

Namun, mahasiswa yang bijak adalah mereka yang berjaya menguasai kedua-dua ilmu ini. Ibnu Taimiah ada mengungkapkan, “bukanlah orang yang berakal itu orang yang tahu membezakan antara baik dan buruk. Tetapi mereka yang bijak membezakan perkara baik dengan perkara yang lebih baik, dan perkara buruk dengan perkara yang lebih buruk”.

Bertepatan dengan usul PMRAM sesi 2013 kali ini, meningkatkan tahap kualiti mahasiswa dengan dua tindakan,
1.meningkatkan pencapaian akdemik dan bahasa arab.
2.pemerkasaan kemahiran.

Justeru itu kita selaku penyokong dan pendokong PMRAM, haruslah berjiwa besar dalam merealisasikan usul ini bersama. Selaku mahsiswa yang bijak, perlulah sentiasa berani melakukan perubahan dalam setiap peringkat. Dan sentiasa memperanankan diri sebagai agen perubah. Kita harus berani mendepani masalah dan isu yang berlegar di sekitar kita. Selangkah kehadapan bersama cita-cita dan impian yang selari dengan aqidah dan kesejahteraan akhlak. Sekaligus melaksanakan amanah selaku khalifah Allah di muka bumi ini.

Sudah tiba masanya untuk kita bekerja keras di kepelbagaian posisi untuk membina sebuah generasi umat Islam yang berwibawa. Bersama memperanankan diri sendiri dalam menuju kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki untuk Islam.

Di samping itu, tidak mengabaikan aspek pentarbiahan diri seperti melazimi usrah, wacana ilmiah, forum, debat dan sebagainya. Perkara ini amat penting dalam pembentukan peribadi seorang mahasiswa yang benar-benar cemerlang. Semua ini akan melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya juang dan berdaya saing. Tambahan itu, segalanya bermula dengan peningkatan ilmu dan kesedaran yang mendalam terhadap Islam. Selaku mahasiswa Azhar, kita wajib meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah, seterusnya diri sendiri”.

Selangkah ke hadapan mencipta reformasi, tidak semudah bicara. Namun Allah SWT senantiasa mendidik hambaNYA untuk terus yakin dan bertawakal kepadaNYA. Firman Alllah SWT :

“apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah, sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal”
(surah Ali-Imran ayat 159)

Sehubungan dengan itu, mahasiswa Islam hari ini, perlu lebih berani menongkah arus kehidupan yang kian mencabar dengan optimis dan azam yang teguh. Tidak lupa juga kepada pembinaan jati diri, atau dalam kalimah arab, tajarrud. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadis ke41 matan Arba’in yang bermaksud,

“tidak beriman seseorang kamu selagi hawa nafsunya tidak mengikuti apa yang aku bawa”.

Hadis ini jelas menerangkan kepada kita mengenai tuntutan iman iaitu mujahadah hawa nafsu, dalam menikmati dunia yang penuh kelazatan tanpa batasan. Syakhsiah mahasiswa Islam yang bergerak dalam pelbagai organisasi semestinya jauh berbeza daripada mahasiswa yang lain.

Mahasiswa Islam walaupun sibuk dengan pelajaran, namun mampu memimpin dan menggerakkan ummah di bawah pentarbiahan Islam yang sahih serta memainkan watak utama ke arah pembentukan generasi baru yang rabbani, agar kemenangan Islam Berjaya direalisasikan dibawah satu kesatuan dan kefahaman yang jitu dan yakinlah, Islam pasti menang!.

Akhir kata, bersama kita menjayakan tema PMRAM “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”, serta HEWI PMRAM “Julang Keilmuan Jana Keizzahan”. Wallahu a’lam.





Share:

Jun 6, 2013

 

Israk & Mi'raj : Menghayati Sirah Baginda SAW

Kaherah, 5  Jun  -   Badan Kebajikan  Mahasiswa/wi  Islam  Pahang (BKMIP)  dengan  kerjasama  Pejabat  Pengurusan  Yayasan  Pahang  Kaherah  telah  mengadakan  tazkirah  Maghrib  bersempena  Israk  dan  Mi'raj  yang  disampaikan  oleh  Al-fadhil  Ustaz  Tuan  Haji  Mohd  Mizi  Azam  Bin  Yahya, Timbalan Mufti  Negeri  Pahang. Program  ini  telah  diadakan  di  Surau  Asrama  Indera  Mahkota Pahang.

سبحان الذى أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذى باركنا حوله لنريه من ءاياتنا إنه هو السميع البصير

"Maha suci  Allah  yang  telah  memperjalankan  hamba-NYA (Muhammad) pada  malam  hari  dari  Masjidilharam  ke  Masjidil  Aqsa  yang  telah  Kami  berkati  sekelilingnya  agar  Kami  perlihatkan  kepadanya  sebahagian  tanda-tanda  (kebesaran)  Kami. Sesungguhnya  Dia  Maha  Mendengar, Maha  Melihat "                                                                                                      (Surah  Al-Isra' : ayat 1)

"Perjalanan  Baginda  SAW  bertemu  Allah  SWT  selepas  berlaku  tiga  peristiwa  yang  menyedihkan ; kewafatan  isteri  yang  tercinta  Saidatina  Khadhijah, kemudian  kematian  bapa  saudara  yang  banyak  membantu  Baginda  dalam  medan  dakwah  dan  terakhir   apabila  kaum  Islam  diboikot  oleh  Musyrikin."  Antara  intipati  tazkirah  yang  disampaikan  oleh  beliau.

Alhamdulillah, program   berjalan  dengan  lancar  dan  meriah  dengan  kehadiran  ahli BKMIP  yang  memberikan  komitmen  yang  baik  walaupun  dalam  musim  peperiksaan. Kupasan  yang  menarik  daripada  Ustaz  Haji  Mohd  Mizi  serba  sedikit  memberikan  input  dan  manfaat  kepada  semua  yang  hadir.

Akhir  program,  semua  ahli  dibekalkan  dengan  sedikit  jamuan  yang  ditaja  penuh  oleh  Pejabat  Pengurusan  Yayasan  Pahang  Kaherah. Terima  kasih  kepada   semua  yang  memberi  kerjasama  semada   secara  langsung  mahupun  tidak  langsung. Semoga  segala  amalan  yang  kita  lakukan  mendapat  berkat  dan  diredai oleh  Allah  SWT.

 Dari Anas Bin Malik r.a. berkata, bahawa apabila datangnya bulan Rejab, Rasullah SAW selalu bersabda :

"Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan."

(HR. Ahmad & Tabrani)

"Belajar Dan Beramal"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Share:

Apr 1, 2013

 

Family Koi & Aok'13 : Mewarnai Kehidupan

KAHERAH: Pada 23,24,25 Mac 2013 bermula pada hari Sabtu pagi hingga Isnin malam telah berlangsungnya hari keluarga Family Koi & Aok ’13. Program ini anjuran bersama Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang dan Pengurusan Yayasan Pahang Kaherah. Saudara Mohd Sharul Bin Malek selaku pengarah dan seramai 20 orang ahli jawatankuasa pelaksana program telah mengendalikan program ini dengan bertemakan “Kesatuan Ummah Teras Generasi Muttaqin”. ‘Mengeratkan hubungan antara anak-anak Pahang di Mesir khususnya ahli BKMIP’ adalah salah satu objektif program ini dijalankan. 

   Pada hari pertama , 23 Mac 2013 (Sabtu), telah bermulanya program hari keluarga Family Koi &Aok ’13 dengan rehlah ke Ain Sukhnah bagi mahasiswa manakala untuk mahasiswi jaulah ke Dumyat. Kelainan yang dilakukan pada tahun ini berjaya menawan hati ahli BKMIP khususnya untuk terus memberikan komitmen terhadap program yang dianjurkan. 

    Pada sebelah malamnya, program ini diteruskan dengan ‘Taklimat Kesihatan : Hepatitis A’ oleh pelajar perubatan. Seterusnya dimeriahkan lagi dengan ‘medical check up’ yang dikelolakan oleh beberapa orang pelajar perubatan,kebanyakannya dari Pahang. Keberjayaan prgram ini sekaligus mengeratkan hubungan antara mahasiswa pengajian Islam dan mahasiswa sains kesihatan. 

    Bagi melahirkan mahasiswa yang sihat pada hari kedua, program diteruskan lagi dengan acara outdoor di dataran. Antara acara yang dipertandingkan ialah sepak takraw, bola tampar dan tarik tali. Manakala pertandingan pentomen dan busana telah diadakan bagi mahasiswi.Pada sebelah malamnya, program diteruskan lagi dengan forum perdana yang bertajuk “Pemuda Dalam Pembentukan Khilafah” yang menampilkan ahli panel yang hebat iaitu Ustaz Jamilludin Bin Murat dan Ustaz Fahmi Bin Che Nordin dan moderator Ustaz Ahmad Baihaki Bin Rashid. Selain itu, program diserikan dengan medical check up bagi mahasiswi. Pada keesokkan harinya, 25 Mac 2013, kesepian Rumah Pahang dipecahkan dengan keriuhan anak-anak Pahang menjayakan permainan indoor dijalankan di Maktabah Pahang untuk mahasiswa dan program “Keluarga Harmoni” di Surau Pahang untuk mahasiswi. Antara permainan indoor yang dijalankan ialah dart, PES, Fifa, timbang bola pingpong, catur dan dam aji. 

   Setiap permulaan ada pengakhirannya. Pada jam 9.30 malam, 23 Mac 2013 telah diadakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Hari Keluarga Family Koi &Aok ’13 yang dijayakan oleh Pegawai Atase Pendidikan Yayasan Pahang Kaherah, Al-Fadhil Ustaz Khairul Anwar Bin Abu Bakar.Majlis Perasmian Penutup berakhir pada jam 11 malam. Semoga program yang mulia ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang dan mendapat lebih kemeriahan dari segenap peringkat.
Share:

Feb 1, 2013