Oct 21, 2013

 

Selangkah Ke Hadapan

Mendepani era revolusi yang kian rancak di persada dunia antarabangsa, mencerminkan sikap ummah kini yang mulai sedar daripada lena panjang nan kelam. Ummah kini mengatur anjakan paradigma dalam pemerintahan dan pembangunan modal insan ke arah generasi rabbani. Ke arah mencapai perubahan tersebut, kita selaku mahasiswa mestilah bertanggungjawab dalam mencapai kecemerlangan akademik dan syakhsiah dengan belajar bersungguh-sungguh, melazimi kuliah, memlihara akhlak, membina jati diri, berdisiplin dan mengurus masa dengan baik.

Selaku mahasiwa juga, kita seharusnya bijak mengorak langkah ke arah perubahan yang sihat, memperbaiki kelemahan diri  dan mengaut segenap pengalaman yang mampu diterokai di bumi anbiya’ ini. Berada di bumi mesir ini, kita mempunyai peluang yang luas dalam menimba ilmu dengan cara bertalaqqi dan berpersatuan. Ilmu bertalaqqi adalah ilmu yang bersifat teori tanpa kita praktikkanya, manakal ilmu persatuan pula bersifat praktikal tanpa kita menafikannya.

Namun, mahasiswa yang bijak adalah mereka yang berjaya menguasai kedua-dua ilmu ini. Ibnu Taimiah ada mengungkapkan, “bukanlah orang yang berakal itu orang yang tahu membezakan antara baik dan buruk. Tetapi mereka yang bijak membezakan perkara baik dengan perkara yang lebih baik, dan perkara buruk dengan perkara yang lebih buruk”.

Bertepatan dengan usul PMRAM sesi 2013 kali ini, meningkatkan tahap kualiti mahasiswa dengan dua tindakan,
1.meningkatkan pencapaian akdemik dan bahasa arab.
2.pemerkasaan kemahiran.

Justeru itu kita selaku penyokong dan pendokong PMRAM, haruslah berjiwa besar dalam merealisasikan usul ini bersama. Selaku mahsiswa yang bijak, perlulah sentiasa berani melakukan perubahan dalam setiap peringkat. Dan sentiasa memperanankan diri sebagai agen perubah. Kita harus berani mendepani masalah dan isu yang berlegar di sekitar kita. Selangkah kehadapan bersama cita-cita dan impian yang selari dengan aqidah dan kesejahteraan akhlak. Sekaligus melaksanakan amanah selaku khalifah Allah di muka bumi ini.

Sudah tiba masanya untuk kita bekerja keras di kepelbagaian posisi untuk membina sebuah generasi umat Islam yang berwibawa. Bersama memperanankan diri sendiri dalam menuju kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki untuk Islam.

Di samping itu, tidak mengabaikan aspek pentarbiahan diri seperti melazimi usrah, wacana ilmiah, forum, debat dan sebagainya. Perkara ini amat penting dalam pembentukan peribadi seorang mahasiswa yang benar-benar cemerlang. Semua ini akan melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya juang dan berdaya saing. Tambahan itu, segalanya bermula dengan peningkatan ilmu dan kesedaran yang mendalam terhadap Islam. Selaku mahasiswa Azhar, kita wajib meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah, seterusnya diri sendiri”.

Selangkah ke hadapan mencipta reformasi, tidak semudah bicara. Namun Allah SWT senantiasa mendidik hambaNYA untuk terus yakin dan bertawakal kepadaNYA. Firman Alllah SWT :

“apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah, sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal”
(surah Ali-Imran ayat 159)

Sehubungan dengan itu, mahasiswa Islam hari ini, perlu lebih berani menongkah arus kehidupan yang kian mencabar dengan optimis dan azam yang teguh. Tidak lupa juga kepada pembinaan jati diri, atau dalam kalimah arab, tajarrud. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadis ke41 matan Arba’in yang bermaksud,

“tidak beriman seseorang kamu selagi hawa nafsunya tidak mengikuti apa yang aku bawa”.

Hadis ini jelas menerangkan kepada kita mengenai tuntutan iman iaitu mujahadah hawa nafsu, dalam menikmati dunia yang penuh kelazatan tanpa batasan. Syakhsiah mahasiswa Islam yang bergerak dalam pelbagai organisasi semestinya jauh berbeza daripada mahasiswa yang lain.

Mahasiswa Islam walaupun sibuk dengan pelajaran, namun mampu memimpin dan menggerakkan ummah di bawah pentarbiahan Islam yang sahih serta memainkan watak utama ke arah pembentukan generasi baru yang rabbani, agar kemenangan Islam Berjaya direalisasikan dibawah satu kesatuan dan kefahaman yang jitu dan yakinlah, Islam pasti menang!.

Akhir kata, bersama kita menjayakan tema PMRAM “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”, serta HEWI PMRAM “Julang Keilmuan Jana Keizzahan”. Wallahu a’lam.





Share: