Sep 21, 2016

 

CELAAN MEMBAKAR SEMANGAT



Tokoh kita kali ini berasal dari negeri Mesir. Namanya Ahmad bin Muhammad bin Salamah ath-Thahawi, kuniyahnya, Abu Jaafar. Beliau lahir di desa Taha pada tahun 237H, lalu terkenal sebagai seorang faqih mazhab Hanafi sekali gus ahli hadis yang bergelar al-Hafiz.

Setiap orang yang membaca buku-buku karangannya seperti Syarh Ma'ani Atsar, Syarh Musykil al-Atsar dan lain-lain, dapat dengan jelas melihat kepakaran beliau dalam kedua-dua ilmu ini.

Pada awalnya, Abu Jaafar ath-Thahawi ini hanyalah seorang pemuda biasa. Beliau juga bukan pengikut mazhab Hanafi, akan tetapi seorang pengikut mazhab Syafie. Beliau mempelajari mazhab ini daripada pakciknya yang bernama Abu Ibrahim al-Muzani, seorang murid Imam asy-Syafie.

Pada suatu hari, Abu Jaafar banyak melakukan kesilapan dalam membaca kitab fiqh di hadapan pakciknya ini. Al-Muzani mencela dan memakinya. Dalam keadaan emosi, beliau bersumpah, "Demi Allah, engkau tidak akan berjaya dalam pelajaran!"

Mendengar celaan dan makian ini, Abu Jaafar ath-Thahawi menjadi sangat marah. Lalu beliau meninggalkan majlis al-Muzani dan beralih kepada Ibnu Abu Imran untuk mengaji fiqh Hanafi daripadanya.

Kekesalan Abu Jaafar ath-Thahawi disebabkan celaan al-Muzani yajg membakar semangatnya untuk belajar dengan penuh kesungguhan. Beberapa bulan kemudian, ath-Thahawi tampil sebagai ulama terkemuka sekali gus pembela mazhab Hanafi terbesar hingga hari ini.

Kepakarannya dalam hadis membuatkan ijtihad-ijtihad Imam Abu Hanifah yang sebelumnya dikenali sebagai ahli ra'yi, dilihat sangat dekat dengan hadis Nabi SAW. Al-Muzani telah lama wafat apabila Abu Jaafar ath-Thahawi menjadi ulama terkemuka.

Abu Jaafar ath-Thahawi berkata, "Semoga Allah merahmati Abu Ibrahim al-Muzani. Jika beliau masih hidup saat ini, beliau perlu membayar kafarah untuk menebus sumpahnya."

(Dipetik daripada buku "Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia tulisan Umar Muhammad Noor)


Disediakan oleh,

Unit Penerbitan & Pengumpulan Maklumat
Biro/Unit Perhubungan , Sambutan & Rehlah
Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang sesi 2015/2016
Share:

0 comments:

Post a Comment

ASsalammualaikumWarohmatullah... Salam Sejahtera ..
Kami Sentiasa Menunggu Kedatangan Anda Sebagai Follower
Tegar Weblog BKMIP Untuk Sama-Sama Memberi Komen
Yang Terbaik Bagi Persatuan Anak Pahang Malaysia-Mesir
Teruskan Bersama Kami.