Mar 13, 2018

BKMIP KELUARGA KITA


واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا وكنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم آياته لعلكم تهتدون.     (  سورة آل عمران : 103 )
MAKSUDNYA : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah S.W.T kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah S.W.T menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah S.W.T itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka ,lalu Allah S.W.T selamatkan kamu dari neraka itu demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.         ( Surah Ali Imran : 103 )

Berdasarkan dari ayat Al-Quran di atas, Allah S.W.T telah memerintahkan seluruh kaum muslimin untuk bersatu-padu di atas jalan Allah S.W.T dan melarang kita untuk berpecah-belah. Disebutkan di dalam ayat ini, bahwa persatuan yang diperintahkan adalah persatuan di atas Kitab dan Sunnah atau di atas tali Allah S.W.T. Barang siapa yang melepaskan diri atau mengambil jalan lain selain jalan Allah S.W.T, maka dialah yang memisahkan diri dari jama’ah kaum muslimin dan berarti dialah yang menyebabkan terjadinya perpecahan. Sekalian mereka yang beragama Islam diseru agar sentiasa bersatu atau berjemaah. Diharamkan dari berpecah-belah kerana perpecahan adalah kehancuran dan berjemaah adalah kejayaan.

Bertepatan dengan ayat Al-Quran di atas, Badan Kebajikan Mahasiswa/I Islam Pahang mengambil inisiatif dengan melancarkan Kempen Jom Daftar Keluarga BKMIP bagi menyahut seruan Allah S.W.T, sekaligus menjayakan salah satu pembawaan YDP pada sesi ini. Antara pembawaan YDP pada sesi ini adalah memupuk ukhuwah Islamiah di kalangan anak Pahang dan membina hubungan silaturrahim dengan negeri lain termasuk Pengajian Islam dan Pengajian Perubatan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hujurat : 13 yang bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan , dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah S.W.T ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

BKMIP yang telah ditubuhkan sejak tahun 1965 ini telah merentasi kepelbagaian lapisan generasi mahasiswa/i yang merupakan sebuah keluarga besar bagi anak-anak Pahang yang menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini. Tahun silih berganti persatuan ini terus menabur bakti demi menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang berjauhan dari keluarga.

Adat sebuah keluarga sekiranya timbulnya kekhilafan sesama adik-beradik. Islam telah menggariskan kepada kita cara yang terbaik dan efisien bagaimana hendak menguruskan kekhilafan yang berlaku sesama ahli keluarga. Semoga Allah S.W.T terus memelihara dan menjaga keluarga BKMIP ini dari anasir-anasir perpecahan dan dilimpahkan keberkatan insha-Allah.

Muhammad Shaufi Bin Abdul Sani
Pengarah Kempen Jom Daftar Keluarga Bkmip
Badan Kebajikan Mahasiswa/I Islam Pahang Sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment

Kami amat mengalu-alukan cadangan dan buah fikiran anda untuk penambahbaikan. Sebarang sumbangan artikel daripada ahli BKMIP amatlah kami hargai.

#BKMIPKeluargaKita