Mar 16, 2018

KE ARAH MAHASISWA PROFESIONAL


Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang merupakan sebuah persatuan yang telah mencecah separuh abad yang menaungi anak-anak Pahang di bumi Mesir. Pelbagai daya usaha telah diambil oleh pimpinan dari masa ke masa untuk menambahbaik persatuan ini.
BKMIP bukanlah semata sebuah organisasi yang ingin melahirkan lebai-lebai dan imam-imam, malah misinya jauh terkehadapan daripada itu. Seiring kerancakan ekonomi dan kecanggihan teknologi, mahasiswa-mahasiswi yang belajar di Ardul Kinanah ini juga terpaksa menapak serentak dengan kepesatan yang ada bagi menyesuaikan diri ketika pulang ke Malaysia kelak.
Persatuan merupakan medium yang terbaik buat para mahasiswa mengasah bakat yang ada pada diri selain menawarkan latihan pengurusan organisasi dan masyarakat kepada ahlinya. Hal demikian bertujuan bagi  melahirkan generasi yang profesional dalam pelbagai aspek.
Menelusuri sejarah baginda Nabi Muhammad sallahualaihiwasallam, kita akan melihat baginda bukan sahaja merupakan seorang daie yang menyeru manusia dari lembah kejahilan kepada nur kebenaran, malah baginda juga merupakan seorang pentadbir terbaik bagi sebuah kerajaan Islam yang pertama. Begitu juga para sahabat baginda.
Hal ini bukan sahaja telah diakui oleh umat Islam, malah pengkaji Barat juga turut membenarkannya. George Bernard Shaw seorang penulis skrip drama berbangsa Irish yang mendapat hadiah Nobel Kesusteraan tahun 1925 dalam bukunya, The Genuine Islam menyatakan bahawa beliau amat menyanjungi ajaran yang dibawa oleh Muhammad kerana kehebatan dan potensi yang ada padanya.
Beliau menegaskan, “Ia adalah satu-satunya agama pada pandangan saya mempunyai kemampuan supaya disesuaikan dengan perubahan-perubahan yang sering berlaku dalam hidup, justeru menjadikannya menonjol pada setiap zaman. Saya telah mengkaji mengenainya iaitu lelaki yang hebat itu (Nabi Muhammad) dan pada pandangan saya beliau bukan anti Nabi Isa sebaliknya, beliau patut digelar sebagai Penyelamat bagi Manusia”.
Dalam Al-Quran juga ada menyebutkan,
ولقد ءاتينا داود منّا فضلا يا جبال أوبي معه والطير وألنّا له الحديد (10) أن اعمل سابغات وقدر قي السرد واعملوا صالحا إني بما تعملون بصير (11)

Maksudnya : Dan sesungguhnya kami telah berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman) : “Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, dan Kami telah melunakkan besi untuknya, (iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan. (Saba’ : 10-11)
Justeru mentaliti sebahagian golongan yang hanya menfokuskan tugas seorang daie hanya kepada bidang keagamaan dan dakwah semata adalah mentaliti yang silap. Golongan ini juga perlu terlibat secara langsung dalam bidang profesional.
Kesimpulannya, demi merealisasikan tagline “BKMIP Keluarga Kita” seterusnya menjayakan pembawaan Yang Di-Pertua sesi kali ini iaitu Kebajikan dan Ukhuwwah, marilah kita bernaung dan bersatu di bawah payung persatuan BKMIP. Semoga dengan kesatuan dan perpaduan yang ada ini dapat menatijahkan impak yang baik buat dakwah dan masyarakat di Malaysia umumnya dan di Mesir khususnya.
 

Nur Fatini Nazurah binti Zulkafley
Naib-Pengerusi HEWI
Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang sesi 2017/2018.

No comments:

Post a Comment

Kami amat mengalu-alukan cadangan dan buah fikiran anda untuk penambahbaikan. Sebarang sumbangan artikel daripada ahli BKMIP amatlah kami hargai.

#BKMIPKeluargaKita