Mar 4, 2018

KESATUAN MAHASISWA ISLAM


       MENJUNJUNG TITAH
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah an-Nisa’, Ayat 59)

Dalam sebuah majlis ramah mesra bersama penduduk kampung di Kuala Lipis pada 28 Febuari yang lalu. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja  Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah bertitah:

“Saya ingin mengingatkan rakyat di negeri ini agar sentiasa bersatu dan menjaga ukhuwah sesama kita. Kekalkan kesetiaan tidak berbelah bahagi yang telah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang kita yang membuktikan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat.”

·         ASAS PERSAUDARAAN
Keimanan kepada Allah merupakan asas penting bagi sebuah perhubungan dan persaudaraan di dalam Islam. Justeru ia mampu mendorong orang-orang yang beriman memelihara ketakwaannya kepada Allah dalam kehidupan sehariannya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah al-Hujurat, Ayat 10)

·         UKHUWAH ISLAMIYAH
Kayu ukur bagi sebuah persaudaraan bukan hanya pada seronoknya kita dalam bergurau senda semata-mata. Bahkan dituntut kepada kita juga agar berani dalam menegur kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat kita sebagai tanda kasih dan sayang kita supaya dia tidak terus tenggelam dengan kemurkaan Allah SWT.

Ironinya masyarakat pada hari ini lebih suka mengambil sikap berlepas diri dan tidak mahu mengambil berat perihal sahabatnya yang lain.

Sedangkan Allah telah berfirman:
“Dan jagalah diri kamu dari dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus, (akan tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”
(Surah al-Anfal, Ayat 25)

·         RASA TANGGUNGJAWAB
Seorang mahasiswa muslim seharusnya perlu peka dengan perubahan keadaan sekelilingnya. Sama ada masyarakat di sekitar tempat tinggalnya semakin taqarrub kepada Allah atau semakin lalai mengejar dunia. Justeru konsep ‘Biah Solehah’ (persekitaran yang baik) perlu difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan agar sebuah masyarakat yang soleh dapat dipupuk dalam komuniti mahasiswa setempat.

Individu muslim mampu dibentuk dalam persekitaran yang baik. Justeru, kesedaran dan rasa tanggungjawab ini hanya akan diperoleh bilamana seseorang itu bersungguh-sungguh dalam amal ibadahnya semata-mata mengharap keredaan Allah SWT.

 “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah al-Ankabut, Ayat 26)

·         BKMIP KELUARGA KITA
Persatuan yang ditubuhkan sejak 1965 ini, telah merentasi pelbagai lapisan generasi mahasiswa yang merupakan sebuah keluarga besar bagi anak-anak Pahang yang menuntut ilmu di perlembahan sungai Nil ini. Tahun berganti tahun persatuan ini terus menabur bakti menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang berjauhan dari keluarga.

Lagikan lidah boleh tergigit, inikan pula sebuah keluarga besar. Menjadi resam dalam sebuah keluarga sekiranya berlaku kekhilafan, namun penyelesaian terbaik adalah menguruskan kekhilafan tersebut dengan penyelesaian yang dianjurkan oleh  Islam. Semoga Allah SWT terus memelihara keluarga besar ini dan dilimpahkan keberkatan insyaAllah.
Wallahua’lam

3 Mac 2018, Kaherah Mesir

AMIR NORDIN BIN A.RAHIM
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Mahasiswa/i Islam Pahang
Sesi 2017/2018

No comments:

Post a Comment

Kami amat mengalu-alukan cadangan dan buah fikiran anda untuk penambahbaikan. Sebarang sumbangan artikel daripada ahli BKMIP amatlah kami hargai.

#BKMIPKeluargaKita